PM: Niat saya bekerja untuk negara, bangsa dan agama.
PUTRAJAYA 23 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, sebagai Perdana Menteri, beliau tidak mempunyai niat lain kecuali bekerja untuk negara, bangsa, rakyat serta agama.
“Kerja saya sebagai Perdana Menteri tidak ada niat dan tidak ada tujuan lain selain daripada hanya kerana negara, bangsa, rakyat dan agama. Inilah... tiada yang lain.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan Semangat Jalur Gemilang pengusaha dan pemandu teksi Malaysia anjuran Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi, Limousin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden Petekma, Yusoff Lahir. Pada majlis berkenaan, Abdullah turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada 1,000 pemandu teksi, limousin dan kereta sewa.
Menyentuh mengenai perkhidmatan teksi, Abdullah turut mengingatkan, memandangkan pemandu teksi merupakan antara orang terawal yang akan ditemui oleh pelancong, maka perkhidmatan yang diberikan harus memberikan gambaran mengenai sikap rakyat yang berbudi bahasa dan kesediaan menghulurkan pertolongan supaya terus diingati oleh mereka.
Petikan : Utusan Malaysia Ogos 2006
Foto : Herman Abdullah / Modmantfoto.com
No comments:
Post a Comment